~yana jumpe dalam satu blog ~ untuk kesedaran yana ~
Allah ajarkan tentang keyakinan kepadaNya
Bagaimana jiwamu hari ini? Ada Allah dalam jiwamu? Kalau ada, pasti terasa. Kalau ada, rasa tenang hari ini , kalau ada, di hati hanya mahu berbuat baik sahaja.Allah itu teman hidupmu, itu kata guru saya.
Bila Allah ada dalam jiwamu maka ketika itu Allah menemanimu tapi bila Allah tidak ada dalam hatimu, ketika itu syaitan jadi teman setia maka jiwamu hari itu resah, mudah marah, mudah buruk sangka. Pastikan tidak, kerna syaitan sedang duduk bersemayam dalam hatimu.
Justeru tunduklah dirimu pada kehendak-Nya bukan kehendak syaitan.
Tetapi kalau Allah yang bertakhta di dalam jiwamu, maka seluruh diri dan tubuhmu hanya cenderung kepada yang baik-baik sahaja. Tidak suka marah, tidak suka buruk sangka, tidak suka mengumpat, suka menolong orang. Itulah kehendak Allah dan jiwamu ketika itu yang dekat dengan Allah akan tunduk pada kehendak-Nya. Simple sahaja bukan?
Justeru bila jiwamu resah gelisah, datanglah kepada Allah tapi datang kepada Allah dengan jiwamu bukan sekadar dengan jasadmu.
Saya ingin merakamkan kefahaman saya tentang keyakinan kepada Allah dan hubungkaitnya dengan kehidupan kita. Hidup kita kadangkala nampak rumit dan sulit dengan pelbagai masalah. Ketika kita berhadapan dengan masalah-masalah ini, cuba kita perhatikan sejauh mana keyakinan kita kepada Allah saat itu.
Rasa kerumitan dan hidup rasa penuh kepayahan ada kaitannya dengan keyakinan kita kepada Allah. Bila keyakinan kepada Allah itu tidak kukuh berpasak di dalam jiwa kita maka kita rasa berhempas pulas menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sakit kepala, tekanan jiwa, marah adalah antara kesannya.
Namun sebaliknya apabila keyakinan kepada Allah Yang Maha Hebat, Yang Maha Besar, Yang Maha Menguruskan Rezeki berpahat teguh di dalam hati ianya akan melahirkan pergantungantotal 100% kepada Allah sehingga mampu menghasilkan kepasrahan yang tulen apabila berhadapan dengan ujian dan halangan di dalam kehidupan.
Hamba Allah yang begini akan menghadapi kehidupan dengan mudah, tenang dan segalanya dapat dirasakan diurus oleh Allah dengan cukup sempurna. Bukan bererti dia tidak berusaha.
Orang yang benar-benar yakin dengan Allah, hidupnya hanya untuk Allah. Justeru apa yang dilakukan akan dilakukan dengan sungguh-sungguh dan sebaik mungkin kerana ia di lakukan untuk Allah, harus bagi yang terbaik dan bukannya untuk dirinya atau manusia lain.
Justeru, fokus dengan peranan dan tanggungjawab, bahagia melakukan kerana Allah, dilimpahi cahaya Allah yang sentiasa menerangi hatinya dan membimbingnya ke jalan yang benar dan penuh kebahagiaan.
Allah sentiasa ada di dalam jiwanya; setiap waktu dia sedar bersama Tuhan yang sangat dicintainya. Kesannya - rezekinya diurus, hidupnya diurus. Cukup sempurna.
Justeru,mahu rezeki dari Allah? Mahu bayar hutang rumah, hutang kereta, bil elektrik, bil telefon dan sebagainya?
Maka, yakin kepada Allah dengan penuh kesedaran setiap waktu dan saat .Mungkin sekadar di otak dan di fikiranmu kata yakin tapi di mana keyakinanmu itu bawa dalam hidupmu selama ini?
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.